3. Bilangan siswazah yang tidak mendapat pekerjaan semakin bertambah setiap tahun. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan menggesa siswazah supaya menceburi bidang perniagaan daripada makan gaji.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.
Srtiap tahun, beribu-ribu orang siswazah keluar dari institusi pengajian tinggi. Siswazah baru ini akan mencari pekerjaan. Akan tetapi, ramai siswazah tidak akan mendapat pekerjaan kerana peluang pekerjaan yang ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah siswazah itu. Ramai siswazah mungkin terpaksa menganggur selama beberapa tahun sebelum mendapat pekerjaan.
Pada pendapat saya, keinginan kuat untuk makan gaji ini berpunca daripada cara didikan anak. Kebanyakan ibu bapa menyuruh anak-anak mereka belajar sampai ke peringkat universiti dan lulus dengan pangkat terbaik supaya dapat mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Mentaliti masyarakat kita jarang sekali menggalakkan anak-anak menceburi bidang perniagaan. Hal ini demikian kerana menjalankan perniagaan memerlukan modal yang besar dan berdepan dengan risiko yang pelbagai.
Namun demikian, kadar pengangguran yang tinggi di kalangan siswazah kini tidak lagi mengizinkan pemikiran sedemikian. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak mereka yang berkelulusan ijazah atau diploma bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Mungkin mereka akan gagal pada mulanya kerana tidak tahu mengurus perniagaan. Akan tetapi, mereka masih muda dan mampu menghabiskan masa untuk mencuba nasib di samping menimba pengalaman.
Sebenarnya, pengalaman amat penting dalam menjalankan perniagaan. Pengalaman berniaga lebih baik ditimba dari awal lagi, iaitu sebaik-baik sahaja seseorang tamat pengajiannya di institusi pengajian tinggi. Ramai usahawan yang berjaya tidak mendapat pendidikan formal sehingga peringkat universiti. Kejayaan mereka dalam perniagaan adalah keranan pengalaman mereka dan keinginan untuk berjaya. Semangat ingin berjaya inilah yang harus ditanam dalam hati nurani anak-anak muda kita. Mereka tidak harus berpuas hati dengan menjadi akauntan atau pegawai tadbir sahaja. Sebaliknya, mereka harus berusaha untuk menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan yang berjaya.
Budaya menjadi usahawan sudah lama wujud dalam kaum Cina di negara kita. Orang Cina yang berniaga akan membawa anak-anak mereka ke kedai untuk membantu sambil belajar selok belok perniagaan. Dengan itu, anak-anak itu terdedah kepada dunia perniagaan sejak kecil lagi. Pendedahan awal akan menjadi bekal yang baik kepada mereka untuk menceburi bidang perniagaan apabila mereka tamat pengajian tinggi.
Saya berpendapat bahawa orientasi perniaagan harus dianjurkan agar dapat melahirkan usahawan yang lebih ramai di kalangan siswazah. Hal ini dapat memberikan kerjaya alternatif kepada siswazah yang tidak mendapat pekerjaan. Peranan kerajaan amat penting dalam menggalakkan siswazah menceburi bidang perniagaan. Kerajaan harus menyediakan insentif bagi siswazah seperti menyediakan pinjaman perniagaan yang mudah melalui bank dan mengadakan kursus keusahawanan intensif
.
Sebagai kesimpulannya, usaha untuk menggalakkan siswazah menceburi bidang perniagaan memerlukan kerjasama daripada ibu bapa, institusi pengajian tinggi, dan kerajaan. Yang penting sekali ialah para siswazah mesti sanggup mengubah persepsi tradisional mereka tentang kerjaya, iaitu daripada makan gaji kepada menjadi bos sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan