15. Hidupan liar di hutan belentara semakin terancam. Pelbagai spesies hidupan liar kini hampir pupus akibat aktiviti manusia. Berikan pendapat anda tentang aktiviti-aktiviti manusia yang mengancam hidupan liar dan pentingnya mengekalkan hidupan liar.


             

Hutan, yang merupakan habitat hidupan liar, telah banyak dicerobohi manusia. Pelbagai aktiviti manusia telah memusnahkan habitat hidupan liar,dan seterusnya boleh mengakibatkan kepupusan hidupan liar.
              Aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kepupusan hidupan liar. Sebatang pokok yang ditebang sudah pastilah menyebabkan pokok-pokok kecil di sekelilingnya turut tumbang. Hal ini secara langsung memusnahkan habitat hidupan liar. Oleh yang demikian, jika aktiviti pembalakan ini dijalankan secara berterusan tanpa kawalan sudah pastilah habitat hidupan liar akan menjadi bertambah kecil yang seterusnya akan menyebabkan kepupusan hidupan liar.
               Kepupusan hidupan liar ini bukan sahaja berpunca daripada projek-projek pembangunan yang besar, malah amalan-amalan kecil dan sikap cuai manusia. Antaranya ialah lalai ketika menggunakan ubat pelali sewaktu menyelamatkan hidupan liar, mengenakan lati ikatan yang terlalu kuat sehingga boleh membunuh binatang dan tidak dapat menyediakan persekitaran yang sesuai bagi hidupan liar yang telah dijerat dan ditempatkan di pusat-pusat pemeliharaan.
                Oleh itu, hidupan liar perlu diberi perlindungan kerana hidupan liar ini dapat menyumbang pelbagai faedah kepada negara. Satu daripada sumbangan itu ialah menjadi asset yang berupaya memajukan sektor pelancongan. Tidak dinafikan bahawa kebanyakan para pelancong gemar melihat cara hidup hidupan liar secara dekat dalam alam persekitaran semula jadi. Taman Negara di Pahang, misalnya adalah sebuah taman hidupan liar yang hidup dalam alam semula jadi yang bukan sahaja berjaya menarik minat para pelancong dari dalam negara, malah dari luar negara. Binatang-binatang liar yang terdapat di taman ini seperti harimau, seladang, gajah, rusa, dan seumpamanya yang hidup secara bebas menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk melancong di negara ini.
                Selain itu, perlindungan dan pemeliharaan hidupan liar mempunyai nilai ekonomi yang boleh mendatangkan pendapatan kepada sesebuah negara. Misalnya, melalui pengeluaran lesen-lesen kepada para pemburu untuk menembak rusa, babi hutan, burung, dan pelanduk. PERHILITAN memperoleh sebanyak RM30 000 hingga RM 500 000 hasil daripada pengeluaran lesen-lesen kepada para pemburu. Di samping itu, nilai dagangan antarabangsa bagi hidupan liar bagi negara kita amat tinggi, iaitu sekitar AS $ 12 juta setahun.
                Hidupan liar juga ialah aset penting dalam bidang penyelidikan perubatan demi kesejahteraan kesihatan manusia. Umpamanya, monyet yang dijadikan sebagai bahan eksperimen. Sebagai contoh, seseorang saintis yang berjaya mencipta ubat untuk sesuatu jenis penyakit tentunya ingin menguji ubat tersebut ke atas sesuatu hidupan sebelum disahkan layak digunakan oleh manusia. Oleh hal yang demikian, keberkesanan sesuatu penemuan baharu dalam bidang sains sememangnya memerlukan hidupan liar.
                Sebagai kesimpulannya, kerajaan harus mempergiat usaha untuk melindungi hidupan liar. Usaha membiak hidupan liar dalam kurungan juga harus dipergiat bagi menjamin kelestarian sesuatu spesies. Dengan itu, generasi yang akan datang berpeluang untuk mengenali dan menghayati hidupan liar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan