24.          Pengalam-pengamal perubatan tradisional seperti dukun, bomoh, pawang, dan singse masih popular pada zaman moden ini walaupun kini terdapat begitu ramai doktor pakar dalam pelbagai bidang. Bincangkan baik buruknya perubatan tradisional dalam kehidupan masyarakat moden.

                Perubatan tradisional merupakan cara rawatan yang sering diamalkan di kampong-kampung dan kawasan pendalaman. Pengamal-pengamal perubatan yang mengubat pesakit mengikut cara tradisional dikenal sebagai dukun, bomoh, pawang atau singse.

                Hakikatnya, tujuan utama perubatan tradisional sama dengan perubatan moden, iaitu untuk merawat dan menyembuhkan penyakit yang dihadapi oleh manusia. Namun demikian, kedua-dua cara pengubatan ini amat berbeza sekali. Justeru, kini kerajaan telah mula memberi perhatian serius kepada penggunaan ubat-ubatan tradisional supaya ubat-ubatan itu dapat memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan berusaha untuk membenteras dan menghapuskan sama sekali penyalaghunaan ubat-ubatan dan cara pengubatan tersebut.

                Sama halnya dengan pengubatan moden, perubatan tradisional juga mempunyai kebaikan dan keburukan. Kebanyakan pesakit yang gagal diubati secara perubatan moden akan beralih kepada perubatan tradisional. Selepas menerima rawatan tradisional dan dalam jangka masa yang tertentu, golongan pesakit ini secara beransur-ansur akan bertambah baik dan sembuh. Oleh sebab itulah, mereka menyatakan bahawa perubatan tradisional lebih mujaran berbanding dengan perubatan moden. Sememangnya wujud beberapa jenis penyakit ganjil yang tidak dapat disembuhkan oleh perubatan moden, seperti penyakit-penyakit yang sering dikaitkan dengan perubatan ilmu sihir, dirasuk, dan terkena buatan orang. Hakikatnya, pesakit yang menghadapi penyakit ini hanya dapat dipulihkan melalui perubatan secara tradisional. Sehubungan dengan ini, peranan pakar-pakar perubatan tradisional tidak harus dipandang ringan oleh masyarakat moden. Pendek kata, perubatan tradisional masih mempunyai tempat di kalangan anggota masyarakat.

                Ditinjau dari aspek bayaran pula, para pesakit yang menerima rawatan perubatan tradisional lazimnya hanya perlu membayar kos rawatan yang jauh lebih rendah daripada rawatan moden. Ini merupakan satu kelebihan dan alternatif yang baik kepada para pesakit, khasnya mereka daripada golongan miskin yang tidak begitu mampu mendapatkan rawatan perubatan moden. Hal ini ditenatkan lagi apabila seseorang pesakit perlu menjalani pembedahan, yang kosnya mungkin membabitkan berpuluh-puluh malah ratusan ribu ringgit.

                Namun demikian, di samping kebaikan, pengubatan tradisional juga ada keburukannya. Ada antara pengamal perubatan tradisional yang mencemarkan nama baik profesion mereka. Mereka didapati sering kali menggunakan kesempatan dan kebolehan mereka untuk menipu orang ramai seperti dengan mengenakan wang pendahuluan yang terlalu tinggi bagi memulakan pengubatan mereka.

                Di samping itu, ada pengamal perubatan tersebut yang mengambil kesempatan daripada pesakit-pesakit yang lemah, khasnya kaum perempuan. Peristiwa seperti ini sering dilaporkan dalam akhbar setempat kebelakangan ini. Puluhan kes pesakit wanita dicabul atau dirogol oleh pengamal perubatan tradisional semasa mendapat rawatan amat membimbangkan orang ramai, khasnya mereka yang bercadang untuk mendapat rawatan sedemikian. Kejadian-kejadian seperti ini sekali gus telah menjejaskan nama baik para pengamal perubatan tradisional.

                Seperkara lagi, kebelakangan ini timbul keraguan akan keselamatan ubatan tradisional. Kes seorang pesakit yang maut di Kuala Terengganu baru-baru ini akibat makan ubat-ubatan yang diberi oleh pengamal perubatan tradisional semasa merawatnya. Persoalan yang timbul di sini ialah pengamal perubatan tersebut mungkin telah mengampurkan bahan kimia yang tidak dibenarkan atau akar-akar yang beracun.

               Insiden seperti ini sepatutnya diberi perhatian serius oleh pihak Kementerian Kesihatan agar keselamatan dan kesihatan orang ramai yang mendapat rawatan cara tradisional adalah terjamin. Sehubungan dengan itu, pemantauan dan pemeriksaan lebih kerap dan teliti harus dijalankan terhadap para pengamal perubatan tradisional.

                Kesimpulannya, sebagai satu alternatif kepada cara perubatan moden, rawatan melalui kaedah tradisional haruslah diberi perhantian sewajarnya. Pihak kerajaan haruslah bertindak untuk mempastikan bidang perubatan tradisional ini tidak dicemari oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan imej para pengamalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan