2
. Manusia telah mengeksploitasi khazanah alam sehingga sumber alam kita habis dan pencemaran alam semakin kronik. Oleh itu, mengitar semula barangan buangan dan barangan terpakai ialah cara yang baik untuk menyelamatkan dan memelihara sumber alam. Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.
Kini, sumber alam kian habis dan alam kian tercemar. Oleh itu, kempen mengitar semula barangan buangan dan barangan terpakai amat penting. Hal ini demikian kerana barangan buangan dan barangan terpakai yang dikitar semula dapat digunakan semula.
Pada pendapat saya, kempen mengitar semula bahan buangan dapat memelihara alam daripada tercemar. Bumi sudah menjadi tapak lambakan sampah sarap. Besi dan plastik akan mengambil masa puluhan tahun untuk reput. Sebagai akibatnya, pencemaran alam kian serius. Oleh itu, kita perlu mengitar semula bahan-bahan ini. Sebagai contohnya, kertas sisa diproses semula menjadi kertas baru dan tin-tin aluminium dikitar semula untuk membuat barang lain. Dengan itu, kuantiti sampah yang dibuang dapat dikurangkan dan masalah pencemaran alam sedikit banyak dapat diatasi.
Pengitaran semula barangan buangan dan barangan terpakai juga memelihara sumber alam terhad. Akibat tamak haloba manusia, sumber alam kian habis. Sebagai contohnya, kawasan hutan kian berkurang akibat penebangan pokok bagi memenuhi permintaan yang kian bertambah terhadap pulpa untuk membuat kertas. Begitu juga, sumber mineral seperti bijih besi dan bijih timah semakin berkurang akibat perlombongan yang berterusan. Akan tetapi, dengan mengitar semula kertas sisa, penebangan hutan dapat dikurangkan. Kegiatan mengitar semula tin-tin aluminium dan besi buruk pula akan mengurangkan aktiviti melombong mineral tersebut. Tegasnya, sumber alam yang terhad dapat dipelihara.
Pengitaran semula barangan buangan dan barangan terpakai juga dapat menjimatkan kos. Hal ini demikian kerana melombong mineral melibatkan kos yang pelbagai. Sebagai contohnya, usaha melombong bijih besi melibatkan kos pekerja, kos membina terowong bawah tanah, kos mengangkat bahan, kos memproses, dan kos-kos lain. Kebanyakan kos ini dapat dijimatkan jika besi buruk dikitar semula. Kos kutipan dan peleburan besi buruk sudah pasti jauh lebih rendah daripada kos melombong bijih besi. Begitu juga, kos menebang pokok di hutan bagi tujuan menghasilkan kertas juga tinggi. Akan tetapi, kita dapat menjimatkan kos ini dengan mengitar semula kertas sisa, kertas-kertas lama, kadbod lama, dan sebanaginya untuk menghasilkan kertas yang pelbagai jenis.
Kegiatan mengitar semula barangan buangan dan barangan terpakai mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Kini, semakin banyak peniaga yang menjalankan perniagaan mengumpulkan bahan bacaan lama seperti surat khabar dan majalah untuk dikitar semula. Pekerja-pekerja diupah untuk mengumpul barangan buangan yang dapat dikitar semula di tapak pembuangan sampah. Kilang-kilang untuk mengitar semula barangan terpakai didirikan. Dengan itu, semakin banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
Kempen mengitar semula akan memupuk sifat murni dalam sanubari rakyat jelata. Tabiat buruk manusia telah mencetuskan masalah pencemaran alam yang serius. Kempen ini memupuk kesedaran bahawa kita perlu berdamai dengan alam. Selanjutnya mendorong lebih ramai orang mengambil berat tentang isu ekologi alam. Sikap menghargai barangan buangan dan tidak membazir merupakan sifat-sifat murni.
Sebagai kesimpulannya, kita tidak harus mencemarkan Bumi dengan sampah sarap. Kita harus sama-sama menyahut seruan untuk mengitar semula barangan buangan dan barangan terpakai. Dengan itu, kita dapat memelihara Bumi demi kebaikan kita dan juga generasi yang akan datang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan