20. Industri pelancongan di Malaysia boleh dimajukan lagi kerana negara ini mempunyai pelbagai daya tarikah yang unggul. Secara umumnya, sumber utama daya tarikan tersebut ialah alam dan manusia. Berdasarkan pandangan ini, bincangkan untung ruginya kempen ‘Citi-cuti Malaysia’ yang dilancarkan oleh kerajaan.

                Industri pelancongan kian maju di negara kita kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dnegan keindahan alam semula jadi dan pelbagai kebudayaan yang terhasil melalui kawujudan masyarakatnya yang berbilang bangsa, agama dan kaum. Dengan kekayaan tersebut, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.
               Melalui kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan, industri pelancongan telah memasuki satu era baharu. Usaha-usaha yang lebih gigih telah dijalankan bagi menarik minat rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara sendiri.
            Sebenarnya, kempen ini diilhamkan ketika kemerosotan ekonomi melanda rantau ini pada pertengahan tahun 1997. Ekonomi negara merundum dan pelbagai sektor ekonomi terjejas. Bagi membangunkan semula ekonomi, sektor pelancongan difikirkan sebagai sektor yang dapat menjana pendapatan negara. Justeru, rakyat diajak melancong ke serata distinasi pelancongan di dalam negara sendiri. Kempen ini diteruskan hingga ke hari ini kerana didapati berkesan. Kewujudan keadaan kondusif ekoran pengisytiharan Sabtu pertama dan ketiga sebagai cuti umum telah menyemarakkan lagi sektor pelancongan dalam negara.
                      Pada dasarnya, kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ oleh kerajaan telah membawa keuntungan kepada negara. Industri ini telah berjaya meningkatkan pendapatan negara. Rakyat menjadi semakin bersedia untuk bercuit dan berbelanja, kecuali bagi tempoh awal tahun 2003 akibat wabak SARS (Sindrom pernafasan akut yang teruk) yang melanda seluruh dunia.
                        Kesan secara langsung ialah kempen ini telah berjaya menyelamatkan berbilion ringgit wang Malaysia daripada mengalir ke negara luar. Selain itu, dengan memilih untuk bercuti dan melancong dalam negara sendiri bukan saja dapat menyekat aliran keluar wang negara, malah telah membantu membangunkan sektor pelancongan domestik.
                      Seterusnya, oleh sebab industri pelancongan merupakan satu aktiviti ekonomi yang berintensifkan tenaga buruh, maka peluang pekerjaan yang lebih banyak dapat diwujudkan untuk penduduk tempatan. Misalnya, industri perhotelan, kraftangan dan sebagainya yang berkembang bersama-sama industri pelancongan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada banyak anak muda dan lepasan sekolah.
                 Selain itu, kemudahan infrastruktur juga mendapat kesan positif daripada kemajuan dalam industri pelancongan. Kini semakin banyak jalan raya dan lebuh raya yang dibina oleh kerajaan. Selain untuk memajukan sektor ekonomi di sesuatu tempat, tidak dinafikan juga pembinaan tersebut adalah untuk tujuan kemajuan industri pelancongan. Destinasi-destinasi pelancongan yang terletak di kawasan luar bandar seperti Homestay, Ecotourism station, air terjun, bukit peranginan dan seumpamanya kini dihubungkan dengan bandar-bandar melalui rangkaian sistem jalan raya dan lebuh raya yang canggih.
               Dalam pada itu, kempen ini yang disasarkan kepada pelancong dalam negara juga telah berjaya membawa masuk lebih 600 000 pelancong asing dari negara-negara serantau seperti negara China, Singapura, Hong Kong, dan Taiwan. Berjuta-juta ringgit dalam bentuk tukaran asing telah berjaya dikaut sebagai akibat kemasukan pelancong-pelancong dari negara-negara tersebut bagi tempoh tiga tahun pertama kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ dilancarkan.
                Namun demikian, kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ yang bertujuan membangunkan sektor pelancongan dalam negara juga mendatangkan pelbagai kesan sampingan. Secara langsung rakyat digalakkan berbelanja lebih tanpa memikirkan akibatnya. Tanpa disedari juga sikap penduduk terhadap keseronokan akan meningkat. Sebagai akibatnya, daya produktiviti penduduk akan menurun kerana keinginan untuk bekerja keras semakin pudar tahun demi tahun. Pendek kata, kecenderungan untuk bersantai mengatasi kesungguhan untuk bekerja.
                    Rumusannya, industri pelancongan yang dipolularkan melalui kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ sememangnya telah memberikan keuntungan yang besar kepada negara, lebih-lebih semasa negara dilanda kemerosotan ekonomi paling teruk sejak krisis pertengahan tahun 1980-an. Namun dari aspek lain, kesan negatifnya juga harus ditangkis agar daya produktiviti rakyat tidak terjejas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan