16. Kerajaan menggalakkan rakyat menguasia bahasa-bahasa yang lain di samping bahasa Malaysia. Di sekolah, Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua pelajar. Bincangkan faedah-faedah menguasai bahasa-bahasa yang lain.

Dalam era globalisasi ini, seseorang harus menguasia beberapa bahasa untuk memanfaatkan perniagaan global. Menyedari hal ini, kerajaan menggalakkan rakyat menguasai bahasa-bahasa yang lain, terutamanya bahasa Inggeris. Sememangnya menguasai bahasa-bahasa yang lain mendatangkan faedah yang banyak.
Untuk menerap ilmu terkini yang kebanyakannya datang dari negara-negara Barat, kita harus menguasai bahasa Inggeri. Ilmu yang berkembang pesat dan menguasai kehidupan kita kini ilaah ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Menurut Bill Gates, pedmilik Syarikat Microsoft, iaitu syarikat pengeluar sistem operasi dan persisian computer yang terbesar di dunia, negara yang menguasai ICT akan menguasai dunia. Dalam hal ini, kita tidak boleh menunggu ilmu ICT yang terkini diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana sebuah buku ilmiah akan mengambil masa dua atau tiga tahun untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Pada zaman ledakan maklumat ini, ilmu ICT yang kita peroleh selepas dua atau tiga tahun sudah menjadi ilmu usang. Oleh itu, adalah bijak jika kita terus menerap ICT melalui bahasa Inggeris tanpa melalui proses penterjemahan yang mengambil masa yang lama lagi merugikan.
Penguasaan bahasa-bahasa yang lain memperluas peluang perniagaan kita. Bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa. Kelancaran berbahasa Inggeris memudahkan kita berniaga di seluruh dunia. Urusan niaga antarabangsa seperti kontrak, akaun, dan laporan juga dijalankan dalam bahasa Inggeris. Jika kita menguasai bahasa Arab, pasaran negara-negara Arab yang luas dapat diteroka. Peniaga yang fasih berbahasa Cina atau berbahasa Jepun juga mempunyai peluang perniagaan yang lebih cerah di negara-negara berkenaan. Tegasnya, bahasa ialah kunci pintu kepada dunia perniagaan yang lebih luas.
Kita juga mempunyai masa hadapan yang lebih cerah jika dapat menguasai bahasa-bahasa yang lain. Peluang pekerjaan kita lebih luas kerana banyak syarikat yang menjalankan perniagaan antarabangsa memerlukan kakitangan yang fasih dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Jepun, atau bahasa Perancis. Kita juga dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan mudah. Kita juga dapat memperoleh ilmu pengetahuan melalui Internet kalai kita memahami bahasa Inggeris.
Rakyat yang dapat menguasai bahasa asing dapat memajukan industri pelancongan. Jika rakyat kita fasih dalam pelbagai bahasa, rakyat kita dapat berkomunikasi secara berkesan dengan orang asing. Pelancong asing akan suka melancong ke Malaysia kerana pemandu pelancong kita dapat melayan mereka dengan baik dan mesra lantaran penggunaan bahasa mereka yang baik. Hal ini demikian kerana mereka tidak menghadapi masalah komunikasi di sini. Dengan itu, Malaysia akan menjadi destinasi pelancongan yang utama di kalangan pelancong asing.
Sebagai kesimpulannya, kita perlu menguasai bahasa-bahasa yang lain supaya tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan dan ilmu. Penguasaan bahasa-bahasa yang lain juga dapat menyempurnakan hidup kita di samping mencerahkan masa depan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan