21. Menjelang tahun 2020, tugas dan peranan guru menjadi semakin mencabar. Bincangkan cabaran-cabaran yung bakal dihadapi oleh guru Malaysia pada waktu itu.

“Tugas dan peranan guru semakin mencabar’. Itulah ungkapan yang sering kita dengar sejak kebelakangan ini. Sungguhpun demikian, menjelang tahun 2020, beban tugas dan tanggungjawab guru dijangka bertambah sekali ganda lagi memandangkan perubahan sosial yang berlaku dengan begitu pantas dewasa ini.
Pertamanya, guru menjelang tahun 2020 terpaksa berdepan dengan set masalah disiplin yang lebih gawat. Jika pada dewasa ini para guru terpaksa bergelut dengan pelbagai ragam pelajar seperti ponteng sekolah, bergaduh, terbabit dalam aktiviti gengstrisme, melawan kekuasaan guru dan seumpamanya, tetapi menjelang 2020, profesion keguruan akan dirundung dengan bermacam-macam masalah yang tidak kunjung padam kerana pada waktu sudah tentu jauh berbeza daripada keadaan pada hari ini.
Diketepikan dahulu masalah disiplin pelajar, guru tahun 2020 perlu memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Hal ini kerana pada ketika itu, bidang ilmu akan berkembang pada kadar ‘mega’ dan bukan lagi kadar ‘supar’ sebagaimana yang berlaku pada masa kini. Seorang guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran di sekolah sudah tentu terpaksa mengisi dadanya dengan kemajuan ilmu sedemikian rupa sekiranya tidak ingin ketinggalan.
Kemungkinan terjadinya keadaan pelajar lebih maju daripada guru adalah tidak mustahil kerana perkembangan dan kemajuan dalan bidang teknologi maklumat dan komunikasi bagitu pesat sekali. Justeru, kelayakan untuk menjadi seorang guru akan lebih tinggi daripada yang diperlukan sekarang. Dengan hanya memiliki segulung ijazah mungkin tidak memadai. Seseorang guru 2020 mungkin terpaksa memiliki beberapa kelayakan lain selaion kelayakan ikhtisas dalam profesion keguruan.
Sebagaimana yang kita ketahui, peranan guru tidak akan terhad kepada bilik darjah lagi. Seseorang guru perlu memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu bantu serta pengetahuan tambahan untuk memainkan peranannya dengan berkesan.
Malah, tugas dan peranan guru pada tahun 2020 mungkin diperluas oleh keraaajn. Pada ketika itu, kaum guru mungkin diminta untuk membimbing masyarakat sekelilingnya dalam usaha memajukan negara. Masyarakat mungkin dahagakan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk memajukan diri, dan guru mungkin dipertanggungjawabkan untuk memastikan kejayaan ini. Dengan kata lain, kaum guru diharapkan sebagai obor pemangkin kemajuan masyarakat menjelang tahun 2020.
Berbalik kepada pelaggan asal guru, iaitu golongan pelajar. Pada tahun 2020 kelak, para pelajar mungkin tidak lagi dapat menerima kaedah pengajaran dan pembelajaran sebagaimana sekarang. Harapan dan tuntutan kaum pelajar sudah tentu akan menggunung tinggi. Jika guru tidak bersedia menghadapinya, sudah tentu mereka akan mudah kecundang di tangan pelajar yang lebih maju dan canggih.
Justeru, guru 2020 perlu bersikap kreatif dan inovatif dalam mengendalikan tugas dan peranan mereka sebagai pendidik. Selain penggunaan computer yang begitu canggih serta terkini, guru perlu menguasai bahasa Inggeris kerana waktu itu bahasa inilah yang akan menjadi lingua franca pelbagai ilmu masyarakat pelajar Malaysia. Tidak dapat tidak, kecekapan berbahasa perlu dikuasai sebagai wadah penyampaian dan pemindahan ilmu teknologi tinggi. Guru tidak dapat lari daripada hakikat dan perkembangan mutakhir ini.
Seperkara yang tidak kurang pentingnya ialah disiplin pelajar. Pada masa itu, pengaruh luar terhadap diri pelajar dijangka lebih hebat lagi berbending dengan sekarang. Keruntuhan moral dan salah laku pelajar akan kian buruk kerana pada ibu bapa terpaksa berlumba mencari nafkah dan keperluan diri. Mahu tidak mahu, keadaan ini menuntut komitmen dan keprihatinan guru-guru yang harus menerima hakikat bahawa golongan pelajar adalah terlalu sensitif dan mudah tersinggung apabila mereka ditegur. Oleh sebab itu, guru-guru mesti menggunakan kebijaksanaan dan diplomasi semasa menyelesaikan masalah-masalah yang sentiasa bertali arus.
Sekimpulannya, sudah pasti guru pada tahun 2020 tidak dapat mengelakkan diri mereka daripada menghadapi cabaran demi cabaran yang membelit bidang persekolahan pelajar. Selagi seseorang guru itu sanggup menggunakan akal fikiran dan tenaganya, sudah pasti setiap masalah dapat ditangani dengan mudah. Oleh itu, mahu tidak mahu, kaum guru pada hari ini terpaksa membuat persediaan awal bagi menghadapi zaman yang kian getir dan mencabar menjelang tahun 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan