7. Hobi penting dalam kehidupan seseorang. Setiap orang harus mempunyai hobi tertentu untuk mengisi masa senggangnya. Pada pendapat anda, apakah faedah yang dapat diperoleh seseorang dengan membabitkan diri secara cergas dalam sesuatu hobi.
Secara umum, hobi dapat diertikan sebagai kegiatan yang dilakukan oleh seseorang pada waktu lapangnya. Terdapat pelbagai hobi yg menjadi kegemaran manusia. Antaranya mengumpul setem, membaca, memancing, berekspedisi, mendaki gunung, dan berkayak.
Kini, kegiatan hobi ini semakin diabaikan oleh para remaja kita. Salah satu sebab yang sering disebut sebagai puncanya ialah kesuntukan waktu. Mereka merungut bahawa tugasan sekolah terlalu membebankan hingga pelajar tiada masa terluang untuk membabitkan diri dengan sesuatu hobi.
Pada pendapat saya, faedah pertama hobi ialah dapat digunakan sebagai benteng untuk menghindarkan anak-anak muda daripada terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat seperti merokok, menagih dadah dan pil ekstasi, gangsterisme, dan amalan seks bebas.
Hobi sebenarnya dapat dipupuk sejak dari kecil. Misalnya, permainan catur atau pun permainan dam tradisional dapat mengisi masa senggang pelajar. Kegiatan ini dapat diadakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Seseorang yang sudah menguasai kemahiran permainan ini boleh menyertai pertandingan tertentu. Begitulah juga dengan hobi-hobi lain seperti mendaki gunung, ekspedisi berbasikal, berkayak, dan berkhemah dapat dijadikan kegiatan mengisi masa lapang seseorang anak muda.
Mandangkan betapa pentingnya mempunyai hobi, pelbagai aktiviti rekreasi telah diterapkan dalam Program Rakan Muda sebagai aktiviti untuk membenteras gejala sosial. Malah Kementerian Belia dan Sukan sedadng melakukan beberapa perubahan untuk mencari imej baru kepada program Rakan Muda ini agar ia serasi dengan cita rasa remaja masa kini. Beberapa acara baru seperti luncur ais, dan mendaki gunung dengan basikal akan dimasukkan dalam senarai aktivitinya. Tegasnya, kesemua acara Program Rakan Muda dapat dimanfaatkan oleh para remaja kita sebagai hobi dan rekreasi.
Sehingga kini, penyertaan remaja dalam program Rakan Muda belum menyeluruh. Remaja yang bermasalah didapati langsung tidak mengambil pusing akan rancangan murni kerajaan ini. Dalam hal ini, para ibu bapa dan guru harus menggalakkan remaja mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sebagai hobi bagi mengisi masa lapang masing-masing.
Di samping dapat mengisi masa senggang, kegiatan-kegiatan hobi dan rekreasi juga dapat menyihatkan badan kita. Ingat, ‘Otak yang cergas bermula dari badan yang sihat’. Para remaja yang sihat tubuh badan dapat menjamin kesinambungan kepimpinan negara apabila tiba masanya. Sebagai pewaris bangsa dan penerus kepimpina negara, kaum remaja dan belia diharap dapat meneruskan tugas yang diamanahkan.
Hobi juga dapat memupuk persefahaman dan sikap bertolak ansur antara masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Contohnya, para kaki pancing yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dalam sesuatu pertandingan pancing yang dianjurkan. Sesungguhnya hobi ini semakin popular di kalangan masyarakat kita dewasa ini. Selain dapat memanfaatkan hujung minggu seseorang, hobi ini juga sekali gus mendatangkan hasil, iaitu ikan yang dipancing dapat dijadikan sajian keluarga.
Pada pendapat saya, setiap orang harus memupuk hobi tertentu bagi mengisi waktu yang terluang. Bak kata orang, ‘masa itu emas’. Masa yang berlalu tiak dapat diganti semula atau dikembalikan lagi. Oleh itu, saya menyarankan agar setiap remaja mengisi masa senggang masing-masing. Hobi juga dapat dijadikan sebagai benteng untuk membendung pengaruh negatif yang mudah menjangkiti golongan muda yang lazimnya tiada pegangan atau pendirian yang kukuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan