13. Amalan rasuah ibarat kanser yang dapat memusnahkan masyarakat. Bincangkan punca-puncanya dan cadangkan langkah-langkah bagi membenterasnya.
Akta Pencegahan Rasuah 1997 mendefinisikan amalan rasuah sebagai penerima apa-apa suapan sebagai dorongan, upah dan galakan untuk membolehkan seseorang melakukan sesuatu perbuatan atau tidak diambil sebarang tindakan undang-undng oleh pihak berkuasa. Antara contoh suapan tersebut termasuklah wang ringgit, komisen, hadiah, lessen, tanah dan seumpamanya.
Persoalannya kini mengapa perbuatan rasuah ini boleh berlaku dan semakin berleluasa di negara ini pada saban tahun? Antara punca amalan rasuah termasuklah dorongan nafsu manusia yang inginkan kekayaan dalam sekelip mata. Umpamanya unutk mendapatkan sesuatu tender, para kontraktor yang bersaing sanggup mengeluarkan wang berjuta-juta ringgit sebagai suapan untuk mendapatkan tender itu. Mereka tahu peluangnya adalah berkali ganda daripada suapan yang diberikan kepada pihak yang meluluskan tender tersebut.
Punca yang seterusnya disebabkan oleh kelembapan jentera pentadbiran kerajaan, Para peniaga dan pelabur inginkan sesuatu permohonan diluluskan dengan segera kerana bagi mereka masa itu adalah wang. Menunggu kelulusan sesuatu permohonan bermakna mereka akan kerugian dalam perniagaan. Lantas mereka rela menyuap pegawai-pegawai yang mempunyai kuasa meluluskan tender itu, Akibatnya si pemohon akan mendapat kelulusan dalam tempoh paling singkat.
Sebab lain yang menggalakkan perbuatan rasuah ialah faktor gaji rendah. Misalnya, seorang pegawai cenderung untuk menerima rasuah kerana tahap gajinya yang rendah tidak dapat menampung kehidupannya sekeluarga. Pada pihak si pemberi pula mereka mendapat faedah akibat sokongan diberikan kepada para pegawai berkenaan kerana dia tahu tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya sekiranya pihaknya melakukan sebarang kesalahan seperti membawa kenderaan dengan barangan melampaui berat muatan yang ditetapkan.
Faktor hukuman yang tidak seberapa berat seolah-oleh telah menggalakkan amalan ini daripada berterusan. Para penerima rasuah tahu bahawa hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya adalah ringan sahaja sekiranya dia disabitkan kesalahan. Malah sering kali seseorang yang dituduh akan terlepas bebas kerana bukti yang tidak cukup. Oleh hal yang demikian, keadaan ini terus berleluasa walaupun masyarakat pada zahirnya menganggap amalan rasuah ini sebagai perbuatan yang tidak bermoral.
Antara langkah yang dapat membendung kalaupun tidak membenteras sama sekali kerana usaha pembenterasan tidaklah semudah yang dibayangkan. Sehubungan dengan ini, pihak berkuasa telah mengubal undang-undang yang lebih ketat dengan mengenakan hukuman yang lebih berat seperti memanjangkan tempoh penjara sehingga maksimum 14 tahun melalui pindaan ke atas Akta Pencegahan Rasuah (Pindaan 1997). Dengan mengenakan hukuman yang lebih berat sekurang-kurangnya akan dapat menakutkan sesiapa sahaja untuk terlibat dalam kegiatan rasuah sama ada pemberi mahupun penerima.
Selain itu, Badan Pencegah Rasuah perlu menjalankan kempen agresif sepanjang masa bagi menyedarkan masyarakat akan betapa jijiknya amalan rasuah ini. Kempen pendidikan ini bertujuan melahirkan masyarakat yang bebas daripada amalan rasuah. Selain itu, kerjasama orang ramai diperlukan dalam membenteras amalan yang keji ini. Maklumat daripada orang ramai diperlukan bagi membolehkan tindakan yang berkesan diambil terhadap mana-mana pihak yang disyaki. Tanpa bukti yang cukup, kemungkinan kes ini tersingkir memang ada. Oleh itu, orang ramai haruslah bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menghapuskan amalan yang dianggap sebagai ‘barah masyarakat’.
Tidak kurang pentingnya, komitmen dan iltizam daripada segenap lapisan masyarakat khasnya para pegawai Badan Pencegah Rasuah untuk menjayakan usaha membenteras amalan jijik ini. Mereka perlu benar-benar jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas mendakwa pihak-pihak yang disyaki terbabit dalam amalan rasuah ini tanpa memilih bulu dan status.
Rasuah sememangnya merupakan satu penyakit sosial yang harus dibenteras. Jika tidak, rasuah akan menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat kita yang pada akhirnya akan memusnahkan seluruh sistem pentadbiran negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan