5. Banyak pihak tidak bersetuju hukuman rotan digunakan untuk menangani masalah disiplin pelajar. Berikan pendapat anda tentang perkara ini?
Kemerosotan mutu disiplin pelajar sekolah sering diperkatakan oleh masyarakat sejak akhir-akhir ini. Ada pendapat yang mengatakan bahawa keadaan ini semakin menjadi-jadi kerana guru tidak lagi diberikan merotan pelajar. Sementara pihak lain pula berpendapat bahawa hukuman rotan tidak dapat menyelesaikan maslaah disiplin pelajar.
Pada pendapat saya adalah berbeza dalam soal ini. Sebagai pelajar, saya menyokong penuh cabaran untuk membenarkan guru merotan pelajar yang menimbulkan masalah di sekolah. Pendirian ini saya buat setelah melihat sendiri masalah demi masalah yang dihadapi oleh guru dewasa ini. Sebenarnya, saya amat bersimpati dengan guru, khasnya guru wanita yang sering bergelut dengan masalah gangguan pelajar dalam bilik darjah.
Bilangan pelajar yang sengaja melanggar disiplin dan peraturan sekolah kian meningkat sebagai akibat daripada pengharaman tindakan merotan. Pelajar tahu bahawa tiada tindakan drastik akan diambil terhadap mereka sekiranya mereka terang-terangan bersikap kurang sopan terhadap guru atau melanggar peraturan sekolah. Justeru, mutu disiplin pelajar sejak akhir-akhir ini menjadi semakin gawat. Buka sahaja mana-mana akhbar harian, kita akan disajikan dengan berita yang menggemparkan! Antara yang terbaru termasuklah tindakan membakar rumah kedaman guru oleh pelajar, meletupkan bom buatan sendiri sewaktu perhimpunan, kegiatan gangsterisme di kalangan pelajar dan melawan guru apabila ditegur.
Kita tahu bahawa tanpa disiplin, proses pembelajaran tidak dapat berjalan dengan lancar. Malah, pelajar-pelajar bermasalah ini akan mengganggu pelajar lain yang ingin belajar. Oleh itu, saya berpendapat bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia harus memperkenalkan semula hukuman rotan untuk membenteras masalah disiplin pelajar yang kian runcing. Sekiranya langkah ini gagal dilaksanakan, saya khuatir sekolah akan menjadi tempat yang tidak selamat untuk pelajar.
Walau bagaimanapun, guru sendiri harus peka dengan kaedah merotan yang dibenarkan. Janganlah hendaknya guru merotan pelajar dengan sewenang-wenangnya atas kesalahan yang kecil seperti terlupa membuat tugasan sekolah, walau hanya sekali sahaja. Para guru haruslah diberi pendedahan tentang cara-cara untuk menjalankan hukuman ini terhadap kes-kes berat seperti pergaduhan sesama pelajar, merokok di kawasan sekolah, dan melawan guru. Dalam hal ini, para pengetua sepatutnya menerangkan kaedah merotan kepada guru-guru di bawah seliaannya.
Pada pendapat saya, hukuman rotan merupakan cara yang efektif untuk membendung masalah disiplin pelajar. Tanpa hukuman mencegah, sememangnya kemelut disiplin ini akan berpanjangan. Para pelajar tidak cukup sekadar diinginkan tentang kesalahan mereka. Mereka yang melakukan kesalahan berat harus dihukum dengan tegas. Proses kaunseling memakan masa yang panjang dan acap kali pelajar kembali kepada tabiat lama mereka setelah diberi nasihat dan panduan oleh guru keunseling. Oleh itu, kaedah yang lebih cepat dan berkesan ialah merotan. Harus diingat bahawa kebanyakan sekolah menengah kini mempunyai lebih daripada 500 warga pelajar yang mempunyai perwatakan yang berbeza-beza yang harus dilayan dengan sebaiknya.
Seperkara lagi, cara hukuman ini janganlah hendaknya sampai mencacatkan atau mencederakan pelajar berkenaan. Tujuan hukuman sebenarnya adalah untuk mengingatkan pelajar yang keterlaluan supaya mengubah sikap buruk kepada sikap yang dapat diterima oleh peraturan sekolah. Dalam hal ini, semua pihak terutamanya para guru harus peka dan sentiasa mengambil ingatan. Hal ini ditekankan kerana sekiranya pelajar dicederakan, kita bimbang masalah akan bertambah buruk dan menegangkan hubungan ibu bapa dan pihak sekolah.
Sebenarnya, niat sekolah hanya satu, iaitu untuk melahirkan generasi pelajar yang bersopan santun dan tertib serta dapat menjalani kehidupan yang baik apabila tamat pengajian mereka. Generasi muda hari ini adalah pewaris bangsa. Generasi yang tidak berdisiplin akan menjadi liabiliti kepada masyarakat pada masa depan. Hal ini demikian kerana ramai antara mereka akan terjebak dalam pelbagai jenayah dan salah laku seperti penagihan dadah, penipuan dan rompakan.
Kesimpulannya, saya menyokong hukuman rotan. Kita tidak boleh menunggu sehingga kedaaan menjadi terlalu kritikal, baru hendak bertindak. Ingat, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan