8. Kerajaan kita sedang berusaha gigih untuk mewujudkan sebuah masyarakat penyayang. Bincangkan cara-cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang.
Masyarakat penyayang dapat diertikan sebagai sebuah komuniti yang anggotanya mempunyai perasaan kasih sayang, hormat-menghormati, dan tahap toleransi yang tinggi. Kerajaan kita sedang berusaha gigih untuk mewujudkan masyarakat penyayang.
Terdapat beberapa cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Pertamanya, melalui sistem pendidikan negara. Pendidikan Moral dan Pengetahuan Agama Islam haruslah diberikan penekanan. Nilai-nilai murni diterapkan merentasi semua mata pelajaran yang diajarkan di sekolah. Tujuannya untuk melahirkan masyarakat penyayang. Guru yang mengajar diperingatkan agar dapat membentuk pelajar yang berilmu serta mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur.
Seterusnya keluarga bahagia merupakan asas sebuah masyarakat penyayang. Pelancaran ‘Hari Keluarga Bahagia’ oleh pihak kerajaan memang menepati tujuan mewujudkan masyarakat penyayang. Keluarga merupakan unit asas yang dapat membina kesejahteraan negara. Keluarga juga merupakan tapak untuk membentuk dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan secara berkesan dalam sanubari anggota-anggotanya, iaitu ibu bapa, anak, datuk dan nenek.
Kesungguhan kerajaan dalam membentuk masyarakat penyayang tidak boleh dipandang sepi. Penganjuran Minggu Keluarga Bahagia, Program Curahan Kasih, Hari Kanak-kanak, Hari Warga Mas, dan program Anak angkat yang diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah masyarakat penyayang.
Pendidikan agama merupakan cara efektif dalam menyemai nilai-nilai murni yang amat diperlukan untuk membentuk masyarakat penyayang. Hal ini kerana akhlak manusia adalah berpaksikan agama. Sebagai masyarakat majmuk, kita bernasib baik kerana suasana di negara kita cukup sesuai untuk mencapai matlamat ini. Sungguhpun agama Islam diangkat menjadi agama rasmi negara kita, namun agama dan fahaman lain dibenarkan. Setiap agama menganjurkan kepada kebaikan dan amalan nilai-nilai luhur dapat melahirkan manusia yang mempunyai nilai-nilai murni dan tulen. Nilai-nilai seperti ikhlas, beserta toleransi dan berhati mulia adalah sifat-sifat sejagat yang patut diterapkan dalam masyarakat penyayang.
Setiap rakyat juga dapat memainkan peranan masing-masing dalam membentuk masyarakat penyayang. Usaha kerajaan tidak akan berjaya tanpa pembabitan rakyat jelata. Usaha kerajaan harus dilengkapi dengan sumbangan setiap warga. Dalam hal ini persefahaman, tolak ansur dan perhubungan mesra dapat dipuluk melalui amalan kunjung-mengunjungi semasa perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai, dan Perayaan Keamatan.
Tidak ketinggalan, golongan yang berada dan kaya patut menghulurkan bantuan dan derma kepada golongan miskin dan daif. Dalam hal ini, pertubuhan dan kelab-kelab kebajikan sering membantu golongan yang kurang bernasib baik. Begitu juga, sumbangan badan bukan-kerajaan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan St John Ambulans, Shelter, dan Befrienders telah membantu mewujudkan masyarakat penyayang.
S
eterusnya, beberapa undang-undang telah dikemaskini selaras dengan pewujudan masyarakat penyayang. Misalnya, Akta Keganasan Rumah Tangga (1998) dan Akta Perlindungan Kanak-kanak (1974) dipinda bagi menjaga kepentingan wanita dan kanak-kanak.
Rumusannya, pembentukan masyarakat penyayang dapat menjamin kesejahteraan keluarga, survival masyarakat dan kestabilan negara. Sebagai negara berbilang kaum, perpaduan rakyat hanya dapat dicapai melalui kewujudan masyarakat penyayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan