19. Pelaburan asing memainkan peranan penting dalam proses pembangunan sesuatu negara. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang pelru dijalankan bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini?
Pelaburan asing merupakan nadi penggerak dalam pembangunan sesebuah negara. Kemasukan pemodal-pemodal asing bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan negara dan meningkatkan guna tenaga, malahan dapat mempercepat pemidahan teknologi dan kepakaran dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Justeru, kerajaan sentiasa menggalakkan pelaburan asing secara langsung (FDI) di negara kita.
Negara-negara yang menjadi pelabur lazim di negara kita termasuklah Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan, singapura, Hong Kong, Jerman dan sebagainya.
Dalam usaha meningkatkan pelaburan asing, perngurniaan status perintis (PS) untuk membolehkan syarikat-syarikat multinasional yang baru bertapak di negara ini menikmati kemudahan pengecualian cukai haruslah diteruskan sebgai satu skim galakan. Kerajaan juga harus melonggarkan syarat pelaburan asing untuk membenarkan rakyat memiliki ekuiti yang lebih besar sehingga 100%. Dalam konteks ini, Akta Perhubungan Industri, 1975 (ICA) harus dipinda bagi memberi insentif yang dicadangkan ini. Baru-baru ini, kerajaan juga telah melaksanakan kelulusan visa industri kepada syarikat-syarikat dari Taiwan dengan serta merta. Tujuannya bagi mempermudah dan mempercepat usaha pembinaan kilang-kilang asaing di pesisir pantai Malaysia.
Selain itu, kestabilan politik sesebuah negara juga dapat mempengaruhi para pelabur membuat keputusan untuk melabur di negara berkenaan. Malaysia amat bertuah kerana selama ini negara kita menikmati kestabilan politik. Faktor ini telah berjaya menarik banyak pelabur mendirikan kilang dan operasi mereka di negara kita semenjak awal tahun 1970-an lagi. Namun begitu, kerajaan masih terus berusaha menarik lebih banyak lagi pelaburan asing ke dalam negara kita.
Penghantaran rombongan penggalakan pelaburan ke luar negara adalah langkah wajar untuk menarik kemasukan pelaburan asing. Melalui misi pelaburan, diharapkan dapat menarik lebih banyak pelabur-pelabur mendirikan industri mereka di negara ini. Usaha ini dibuat melalui pamerak, seminar pelaburan, mesyuarat serta laporan dan promosi media massa di negara-negara asing.
Zon-zon perindustrian yang sesuai dan kemudahan infrastruktur yang sempurna juga penting dalam menjayakan sesuatu projek pelaburan baru. Oleh yang demikian, dalam usaha menarik pelaburan asing, tapak perusahaan yang strategik harus disediakan bagi memikat para pelabur berpotensi untuk melabur di negara kita. Di samping itu, kemudahan asas dan inftastruktur seperti sistem telekomunikasi canggih, lebuh raya efisien, sistem pengangkutan selesa, dan sebagainya haruslah disediakan bagi menjayakan mana-mana projek pelaburan asing. Antara kawasan perindustrian yang disediakan termasuklah Zon Perdagangan Shah Alam, Batu Berendam, Alor Gajah, Semambu, Gurun, dan Senawang.
Daya produktivitinya yang tinggi bukan sahaja dapat menjimatkan kos pengeluaran, bahkan memaksimumkan kadar keuntungan sesuatu projek pelaburan. Hal ini sejajar dengan hasrat pelabur asing. Jika kerajaan melaksanakan rancangan latihan kepakaran untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan tenaga buruh setempat, nescaya pelabur asing akan lebih terpikat untuk melabur di negara kita.
Suatu perkara yang tidak kurang penting ialah setiap pekerja setempat diberi latihan vokasional yang secukupnya bagi menangani keperluan guna tenaga dan tuntutan sezaman.
Kesimpulannya, jika Malaysia terus menawarkan sokongan yang menarik, nescaya negara ini akan berjaya menjadi pusat penting bagi pelabur-pelabur. Namun demikian, di sebaliknya keghairahan menarik pelaburan asing (FDI) kita harus sentiasa berhati-hati agar pelaburan itu tidak mendatangkan implikasi negatif yang boleh membebankan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan