17. Pada suatu ketika dahulu, isu bahasa Malaysia baku hangat diperkatakan.
Apakah yang anda faham tentang bahasa Malaysia baku dan bagaimana bahasa itu dapat menbantu dalam usaha pembinaan negara?
Secara umumnya, masyarakat tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan dengan bahasa Malaysia baku yang hangat diperkatakan tidak beberapa lama dahulu.
Sebenarnya bahasa Mlaysia baku dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang bentuknya telah diseragamkan, diterima oleh seluruh penutur sesuatu bahasa itu sebagai model, rujukan atau ukuran. Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa bahasa Malaysia baku bukanlah bahasa yang wajib digunakan dalam semua situasi. Contohnya, dalam interaksi kita dengan anggota keluarga, pergaulan dengan rakan-rakan atau pertemuan dengan para penjual di pasar, bahasa Malaysia baku tidak perlu digunakan. Kita hanya sekadar bercakap dalam bahasa Malaysia pasar menurut dialek masing-masing.
Oleh itu, tidak timbul soal bahasa Malaysia baku mesti digunakan sepanjang masa dalam semua bentuk komunikasi kita. Begitulah juga halnya bukan semua orang perlu berbahasa baku. Contohnya, pak tani, nelayan, peladang ataupun pekerja am tidak melerlukannya. Sebaliknya, kakitangan kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas rasmi, guru, pensyarah, pembaca berita dan penemu duga harus berusaha menggunakan bahasa Malaysia baku dan menguasainya dengan sebaik mungkin.
Dari segi definisi linguistiknya, bahasa baku atau bahasa standard ialah satu ragam bahasa yang digunakan dalam situasi formal dan untuk keperluan rasmi. Umpamanya dalam bentuk lisan, keperluan rasmi itu lazimnya berlaku dalam pengajaran guru di bilik darjah, ucapan oleh seseorang menteri sebelum merasmikan sesuatu upacara, mesyuarat dan taklimat dalam kalangan pegawai kerajaan, pertandingan syarahan dan lain-lain yang sebagainya. Dalam pendeklamasian sajak dan nyanyian, sebutan baku digunakan semata-mata untuk menyerlahkan nilai estiteka. Seterusnya, dalam bahasa tulisan, bahasa Malaysia baku wajar digunakan dalam segala urusan surat-menyurat dengan jabatan kerajaan, sekolah, dan firma; dalam arahan rasmi, pekeliling, laporan, tender, iklan pekerjaan, minit mesyuarat dan seumpamanya.
Malangnya, dalam keghairahan kita memerkatakan tentang bahasa Malaysia baku, ramai orang yang tersalah erti dan menyamakan bahasa Malaysia baku sebagai sebutan bahasa Malaysia baku. Kekeliruan ini membayangkan seolah-olah bahasa Malaysia baku itu suatu perkara baru, pada hal bahasa itu telah lama digunakan di sekolah, jabatan kerajaan, stesen penyiaran dan media massa.
Walau bagaimanapun, sebutan baku hanya merupakan salah satu aspek bahasa Malaysia baku. Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan bahasa baku adlah lebih daripada itu. Bahasa yang digunakan oleh seseorang itu cuma dianggap baku apabila dia dapat menguasai kemahiran-kemahiran dalam sistem bunyi, ejaan, peristilahan, perkamusan dan tatabahasa. Oleh itu, sekiranya pengucapan kurang jitu, dia masih dianggap belum menguasai bahasa Malaysia baku. Demikian juga cara pentakrifan baku untuk bahasa-bahasa lain.
Dalam hal pembinaan negara, bahasa Malaysia telah diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan apabila termaktubnya Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957. Oleh itu, peranan bahasa Malaysia sebagai salah satu tonggak pembinaan negara menjadi semakin penting. Selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa Malaysia menjadi lambang perpaduan dan kedaulatan bangsa Malaysia.
Di samping menjadi bahasa perhubungan antara semua kaum di negara ini, bahasa Malaysia juga semakin penting untuk digunakan dalam pelbagai hal kompleks dan canggih seperti dalam bidang akademik, kehakiman dan keadilan, perindustrian dan perdagangan, penyelidikan dan kajian dan seumpamanya.
Dalam usaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak inilah maka bahasa Malaysia baku mampu dan wajar digunakan untuk menanganinya. Bahasa perhubungan biasa yang disebut sebagai ‘bahasa kolokial’ tidak akan berupaya menjadi wahana untuk memperkatakan bidang ilmiah dan pentadbiran negara. Dalam konteks ini juga, kita memerlukan bahasa Malaysia baku sebagai bahasa formal dan bahasa pembina banga dan negara.
Kesimpulannya, bahasa Malaysia baku dapat memainkan peranan penting dalam memantapkan penggunaan bahasa. Hakikatnya, bahasa Malaysia baku tidak menghalang perlanjutan dialek-dialek dalam bahasa Malaysia kerana bahasa ini hanya diwajibkan dalam situasi formal dan tujuan rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan