22. Walaupun merokok adalah amalan yang menjejaskan kesihatan seseorang, amalan ini masih diteruskan secara berleluasa.
Bincangkan keburukan amalan merokok dari aspek kesihatan dan dekonomi.
Umum mengetahui keburukan amalan merokok sama ada dalam aspek kesihatan mahupun dari aspek ekonomi. Namun tabiat ini sukar dibendung malah telah menjadi rutin segolongan besar masyarakat kita tidak mengira remaja atau dewasa, lelaki ataupun wanita.
Di Malaysia sendiri, golongan remaja lelaki merupakan golongan utama yang mebghisap rokok. Bagi mereka, dengan menghisap rokok mereka dapat menghilangkan ketegangan perasaan dan fikiran yang dialami dan juga sebagai suatu kepuasan.
Sebenarnya, perbuatan merokok merupakan salah satu punca yang menyebabkan berlakunya penyakit barah paru-paru, arteri jantung dan batuk kering. Para penghisap rokok yang menghisap sebanyak 40 batang rokok atau lebih dalam sehari adalah 30 kali lebih berkemungkinan untuk diserang penyakit barah paru-paru. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), merokok menyebabkan 90% daripada jumlah kes penyakit barah paru-paru dan 75% daripada jumlah kes penyakit kerongkong yang tenat.
Asap rokok mengandungi sebatian-sebatian seperti benzpiren, fenol, dan hidrogen sianida yang mencemarkan paru-paru. Di samping itu, tar tembakau yang mengandungi nikotin juga menyebabkan ketumbuhan sel-sel barah. Keadaan ini menyebabkan kesihatan para perokok menjadi terjejas dan tidak hairanlah laporan WHO yang menyatakan bahawa seramai 4.5 juta orang mati pada setiap tahun sebagai akibat keracunan dioksida dan nikotin yang berpunca daripada rokok.
Penghisap rokok biasanya mempunyai bibir yang hitam, gigi yang kuning dan kuku yang pucat. Mereka juga kadang kala kelihatan tidak bermaya sekiranya tidak menghisap rokok dalam jangka waktu yang agak panjang. Merokok juga mengakibatkan nafas berbau.
Asap rokok bukan sahaja membahayakan perokok malah turut membahayakan kesihatan orang yang berada di sekitarnya. Apabila asap rokok dihembus oleh prokok, orang yang berhampiran dengannya akan turut menghidu asap tersebut dan mencemarkan paru-paru serta menjejaskan kesihatan mereka.
Asap rokok turut menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku. Misalnya, jika terdapat 100 yang menghisap rokok di suatu ruang yang sempit, maka udara di kawasan itu akan tercemar. Andainya terdapat ramai orang yang menghisap rokok di sesuatu kawasan yang telah tercemar, kesihatan penduduk di kawasan itu sudah pasti akan terganggu.
Menurut laporan WHO seterusnya, perkok-perokok membelanjakan kira-kira RM600 bilion pada setiap tahun untuk membeli 10 000 bilion batang rokok. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penduduk di dunia ini membazirkan terlalu banyak wang hanya untuk membeli rokok. Lebih baik sekiranya jumlah wang yang besar itu dibelanjakan untuk memperbanyak kemudahan-kemudahan awam, infrastruktur sosial, pendidikan masyarakat, perkhidmatan hospital dan seumpamanya.
Para remaja yang menghisap rokok juga membelanjakan wang dengan jumlah yang banyak semata-mata untuk membeli rokok. Bagi pelajar-pelajar bersekolah pula, wang saku yang diperoleh daripda ibu bapa digunakan untuk membeli rokok. Sesungguhnya, perbuatan itu hanya akan merugikan diri mereka sendiri, masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, pihak ibu bapa dan guru haruslah mempastikan anak-anak mereka dan para pelajar tidak menjadi perokok.
Meskipun kerajaan memperoleh pendapatan yang besar melalui cukai daripada perniagaan rokok namun usaha-usaha untuk mencegah amalan merokok itu tetap dijalankan. Langkah kerajaan mengharamkan iklan rokok di kaca televisyen merupakan suatu langkah bijak untuk mengelakkan lebih ramai orang yang menghisap rokok. Langkah menaikkan harga rokok melalui duti importnya juga berjaya mengurangkan jumlah perokok di negara ini.
Kesimpulannya, amalan merokok merupakan perbuatan yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia. Amalan ini juga merugikan kerana banyak wang ringgit yang dibakar menjadi abu. Kerjasama daripada semua pihak, terutamanya para perokok amat perlu agar amalan ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan