Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memang sesuai untuk menangani masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja tetapi matlamat lain PLKN juga tidak kurang pentingnya. Berikan pendapat anda tentang penyataan tersebut.
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2004. Semua lelaki dan perempuan yang berusia 18 tahun wajib menyertainya. Pada pendapat saya, selain membenteras masalah keruntuhan akhlak remaja, matlamat lain PLKN juga mendatangkan manfaat kepada negara dan remaja.
Sememangnya PLKN dapat membenteras masalah keruntuhan akhlak remaja dengan memupuk gaya hidup yang positif dan produktif. Disiplin dapat dipupuk melalui peraturan tertentu yang perlu dipatuhi, misalnya mematuhi perintah ketua kumpulan. Remaja dapat mengisi masa lapang selepas peperiksaan SPM secara bermanfaat. Melalui PKLN, anak-anak muda dapat mencari identiti diri. PLKN menyedarkan remaja tentang tanggungjawabnya. Hal ini akan meningkatkan harga diri seseorang. Hidup mereka penuh dengan matlamat dan perancangan selepas mengikuti program motivasi dan kaunseling. Dengan itu, masalah lepak, bohsia, dan sebagainya dapat dibendung.
Selain itu, aktiviti yang disediakan dalam PLKN dapat memperkuat ketahanan mental dan fizikal remaja. Remaja akan melakukan aktiviti berkumpulan seperti berkhemah, mendaki bukit, berkawat, dan latihan lasak. Semua aktiviti ini memerlukan ketabahan dan kekuatan fizikal. Remaja yang menyertainya akan menghadapi pelbagai masalah seperti keletihan, tempat tidur yang kurang selesa, sakit badan, dan kesejukan. Dengan cara ini, nilai peribadi yang lebih baik seperti bersemangat waja, perkasa, dan berikthiar dapat dipupuk.
Pada pendapat saya, PLKN juga dapat merealisasikan perpaduan nasional. Hal ini demikian kerana aktiviti PLKN dilakukan secara berkumpulan. Melaluinya, remaja pelbagai keturunan akan ditemukan. Mereka akan menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi, dan bergaul mesra. Mereka akan didedahkan kepada corak hidup kaum majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Dengan itu, tembok pemisah antara kaum dapat diruntuhkan.
Di samping itu, PLKN juga dapat melahirkan generasi yang berilmu. Banyak aktiviti PLKN dapat mencelikkan mata remaja, misalnya Khidmat Komuniti dan Khidmat Alam Sekitar. Melalui Khidmat Alam Sekitar, remaja akan membantu untuk menyelamatkan alam sekitar. Hal ini akan menjadikan remaja kita prihatin dan sensitif terhadap sistem ekologi alam sekitar. Melalui Khidmat Komuniti, akan lahirlah remaja yang memahami masalah sosial yang berkaitan dengan golongan tua, golongan yang miskin, kanak-kanak yang terbiar, dan sebagainya. Selanjutnya, hal ini akan menjadikan generasi muda kita prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita.
Seperkara lagi ialah PLKN dapat memupuk kepimpinan. Semasa menjalani latihan, remaja akan diberikan tanggungjawab tertentu. Ada remaja yang akan menjadi ketua sesuatu bahagian. Dengan itu, mereka dapat mengenali diri sendiri. Kelemahan diri, diatasi dan kelebihan dikekalkan serta dikembangkan. Selanjutnya, mereka dapat membaiki nilai peribadi hidup, memupuk motivasi, kemahiran berkomunikasi, dan pengurusan organisasi. Hal ini dapat melahirkan remaja yang mempunyai sifat-sifat kepimpinan.
Sebagai kesimpulannya, saya berpendapat bahawa PLKN amat penting untuk melahirkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja. Oleh itu, semua pihak perlu menyokong PLKN demi kebaikan remaja dan juga negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan