Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang mendorong perkembangan
pelancongan kesihatan di Malaysia
dan faedah-faedahnya. Panjang
rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Negara Malaysia kaya dengan alam semula jadi yang indah,
kepelbagaian flora dan fauna yang unik, dan hutan hujan tropika yang masih
kekal sejak turun-temurun. Faktor-faktor ini menjadi penggalak kedatangan
pelancong ke negara ini. Lantaran itu, tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini,
Malaysia menjadi tumpuan pelancong dari negara-negara Asia Barat,
khususnya yang melibatkan bidang pelancongan kesihatan. Konsep pelancongan
kesihatan mungkin baru di Malaysia, tetapi mempunyai potensi untuk dibangunkan
berdasarkan kemajuan dan perkembangan pesat yang dicapai oleh industri
kesihatan di negara kita sejak beberapa dasawarsa yang lalu. Selain memiliki
kepakaran, kadar bayaran perubatan yang dikenakan oleh pusat perubatan negara
ini adalah yang paling rendah di rantau Asia Pasifik.
Memandangkan
Malaysia amat berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan kesihatan yang
terkemuka di rantau Asia, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dan
agensi yang berkaitan bagi menarik para pelancong kesihatan datang ke negara ini. Antara tarikan yang
menjadikan Malaysia sebagai pusat untuk mendapatkan rawatan kesihatan ialah
kadar tukaran wang yang tetap. Hal ini sebenarnya menggambarkan kestabilan
ekonomi negara ini selepas krisis ekonomi yang melanda dunia sebelumnya. Tahap
penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan kakitangan perubatan negara
ini juga merupakan pemangkin yang menggalakkan kehadiran pelancong kesihatan ini. Malah, tanggapan
bahawa negara ini mengalami masalah kekurangan doktor juga sebenarnya tidak
berlaku kerana berdasarkan kajian, tanggapan ini muncul akibat taburan doktor
di negara ini yang tidak sekata. Misalnya, nisbah antara doktor dan penduduk di
Kuala Lumpur ialah 1:400. Nisbah ini melebihi piawaian yang ditetapkan, iaitu
1:800. Malah yang lebih membanggakan, peralatan-peralatan perubatan yang
terdapat di negara ini setaraf dengan kemudahan yang terdapat di United Kingdom. Maka, tidak hairanlah
terdapat pesakit dari sana yang datang untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Malaysia juga banyak memiliki pakar perubatan berdasarkan peningkatan
lulusan bidang kedoktoran dari 11 buah institusi pengajian tinggi pada setiap
tahun. Aksesibiliti pada setiap kemudahan
perubatan juga merupakan daya penarik yang menggalakkan kedatangan pelancong ke
negara ini. Dari aspek budaya dan kepercayaan pula, pelancong-pelancong dari
Timur Tengah gemar mendapatkan rawatan perubatan di negara ini kerana mereka
mudah mendapatkan makanan halal dan kemudahan beribadah. Malah, doktor-doktor
di negara ini menggunakan kaedah mesra pesakit yang beragama Islam seperti
berdoa sebelum menjalankan pembedahan. Untuk menjadikan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan kesihatan, tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan
kepada pusat perubatan atau hospital
semata-mata. Selain menaruh kepercayaan terhadap kemudahan kesihatan di negara
ini, rakyat negara ini turut berperanan sebagai pengkritik yang membina
terhadap kemudahan kesihatan yang disediakan di negara ini.
(Diubahsuaikan daripada Malaysia
Destinasi Pelancongan Kesihatan
Terunggul, oleh Saharom Abd.Aziz,
Dewan Masyarakat, Disember 2002
Soalan 2 : Pemahaman
[20 markah]
Soalan 2 (a)
Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.
i.
Berikan maksud rangkai kata mempunyai potensi untuk
dibangunkan. [ 2 markah ]
ii.
Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan
untuk memajukan
industri
pelancongan kesihatan di Malaysia? [
4 markah ]
iii.
Pada pendapat anda, apakah masalah yang dihadapi oleh
Malaysia untuk memajukan industri
pelancong
kesihatan
ini?
[ 4 markah ]
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat
satu rumusan tentang saranan
menjadikan jalan raya sebagai laluan yang selamat dan halangan untuk
menjayakannya. Panjang rumusan anda
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Apabila kita berbicara tentang musibah
dan kesengsaraan yang berlaku akibat kemalangan jalan raya, sepatutnya perkara
ini akan menginsafkan sesiapa sahaja. Sekiranya kita menyaksikan kemalangan
yang berlaku atau melihat gambar tentang kemalangan, dapat kita rasai bahawa
kemalangan itu bagaikan kesan pertempuran di medan peperangan, apatah lagi jika
kemalangan itu melibatkan kenderaan berat. Sehubungan dengan itu, pelbagai
pihak telah bekerja keras untuk menyedarkan pengguna bahawa jalan raya bukan
medan pertempuran, sebaliknya jalan raya menjadi kemudahan untuk manusia
berulang-alik ke sesuatu destinasi bagi menjalankan pelbagai urusan. Maka,
wajarlah jalan raya dijadikan laluan yang selamat dan menyenangkan penggunanya.
Jalan raya
tidak patut dikotori pelbagai imej buruk dan penggunanya dianggap musuh,
sebaliknya semua pihak yang menggunakan jalan raya harus menganggap pengguna
yang lain sahabatnya. Para pengguna jalan raya perlu saling menghormati dan
bantu-membantu tanpa menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk mengancam nyawa
orang lain. Persepsi bahawa jalan raya ialah laluan yang selamat hendaklah
diterima oleh setiap orang. Matlamat itu tidak mustahil dicapai kerana selama
ini semua orang mengharapkan mereka yang tersayang selamat apabila menggunakan
jalan raya. Dengan itu, berbagai-bagai cadangan telah diketengahkan dan banyak
tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah ini.
Kebanyakan cadangan itu tertumpu pada langkah menguatkuasakan undang-undang dan
menambahkan hukuman atau denda terhadap pesalah jalan raya.
Usaha
untuk menyelesaikan masalah di jalan raya akan menjadi bertambah rumit apabila
ada pihak yang beranggapan bahawa jalan raya termasuk dalam kategori kemudahan
awam yang membahayakan keselamatan dan mereka tidak yakin bahawa suasana yang
selamat dapat diwujudkan di situ. Pandangan sedemikian tidak boleh dibiarkan berlarutan dan harus dikikis agar kelakuan
yang buruk tidak terus diamalkan oleh pengguna jalan raya. Selain itu,
pandangan tersebut akan terus melalaikan orang ramai apabila berada di atas
jalan raya. Masalah ini akan lebih mudah ditangani dengan mendidik remaja
tentang aspek-aspek keselamatan jalan raya sejak di bangku sekolah lagi.
Kita tiada
pilihan selain mencari jalan untuk mewujudkan keazaman dan komitmen dalam
pemikiran setiap pengguna agar mematuhi setiap peraturan ketika di jalan raya.
Perkara yang tidak harus diabaikan juga termasuklah mengambil langkah
menghapuskan kecenderungan berkelakuan buruk atau sikap suka menunjuk-nunjuk
apabila berada di jalan raya. Justeru, kempen-kempen kesedaran tentang
keselamatan jalan raya perlu dipergiat supaya melahirkan pengguna yang
berhemah.
(Dipetik
dan diubahsuaikan daripada rencana Jalan
Raya Bukan Medan Tempur,
oleh Zaini
Mohd. Said, Mingguan Malaysia, 14 Disember 2003)
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan
2(a) — Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab
soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah
yang dimaksudkan dengan rangkai kata tidak
boleh dibiarkan berlarutan? [2 markah]
(ii) Mengapakah
masalah-masalah di jalan raya sukar ditangani? [3
markah]
(iii) Pada
pendapat anda, mengapakah hukuman yang dikenakan masih gagal menyedarkan
pengguna jalan raya? [4
markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat
satu rumusan tentang ciri pendidikan
prasekolah di Malaysia dan cara
meningkatkan kualiti pendidikan tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Penubuhan
prasekolah di Malaysia pada peringkat
awalnya lebih bersifat pusat jagaan atau asuhan kanak-kanak. Pusat-pusat ini lebih tertumpu di kawasan
ladang dan lombong kepunyaan British.
Ibu bapa bekerja di ladang ataupun di lombong sementara anak-anak mereka
ditinggalkan di pusat-pusat asuhan.
Bagaimanapun pusat-pusat ini semata-mata memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesihatan kanak-kanak
dan hanya sedikit perhatian diberikan kepada keperluan pendidikan. Apabila ekonomi semakin berkembang, pusat –
pusat asuhan di bandar mula muncul,
peranan dan tanggungjawab pusat-pusat asuhan mula berubah.
Pada
akhir tahun 50-an dan awal tahun 60-an, peranan pusat-pusat asuhan mula
bertukar kepada prasekolah dan lebih menekankan aspek pendidikan. Institusi prasekolah persendirian bercambah
dengan pesat selari dengan perkembangan bandar. Bagaimanapun menurut Sufean
Hussin (1993), prasekolah pada masa itu
adalah untuk kanak-kanak daripada golongan berada kerana yuran bagi
perkhidmatan itu adalah tinggi atau diluar kemampuan golongan bawahan, pengajar
tidak mendapat latihan profesional, kurikulum prasekolah bersifat tradisional
iaitu menyediakan kanak-kanak dengan kemahiran 3 M.
Hal
ini menyebabkan ketidakseimbangan antara wilayah dan golongan masyarakat.
Kanak-kanak di bandar khususnya kanak-kanak berlatar belakang sosio-ekonomi
tinggi lebih berpeluang belajar di prasekolah berbanding dengan kanak-kanak di
luar bandar. Ketidakseimbangan dan kepelbagaian pendidikan prasekolah ini telah
disedari oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui Laporan Keciciran Tahun
1973. Laporan ini juga menunjukkan terdapat
hubungan yang positif antara kanak-kanak prasekolah dengan kejayaan pada
peringkat sekolah rendah.
Kajian
ini menunjukkan 90% kanak-kanak yang menduduki kelas ekspres di sekolah rendah
mendapat pendidikan prasekolah. Justeru,
kesedaran tentang ketidakseimbangan penyertaan serta faedah pendidikan
prasekolah sebagai pendidikan imbuhan awal telah mendorong beberapa agensi
kerajaan dan pertubuhan kakitangan jabatan kerajaan giat menubuhkan pusat-pusat
prasekolah sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Sejak itu, pendidikan awal kanak-kanak mendapat
perhatian besar daripada seluruh penduduk.
(Dipetik dan
diubahsuaikan daripada buku
Pendidikan
Prasekolah Dr. Nor Hashimah
Hashim, PTS Professional, 2007)
Soalan 2:
Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan
Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan ayat anda
sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata terdapat hubungan yang positif. [2 markah]
(ii)
Nyatakan kesan
yang timbul daripada penubuhan prasekolah di Malaysia pada peringkat awal? [3 markah]
(iii)
Pada
pendapat anda apakah faedah yang diperolehi
oleh seseorang kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal? [4 markah]
Soalan 1 : Rumusan
[30
markah]
Baca petikan di bawah dengan
teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan sistem baru industri akuakultur di negara kita dan langkah-langkah ke arah memajukannya. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Jika dulu, untuk menceburi industri
akuakultur memerlukan tanah luas, penggunaan air banyak dan modal besar, kini
selari dengan perkembangan semasa, industri ini sangat mudah diceburi, asalkan
mempunyai minat. Kebanyakan yang menceburi bidang akuakultur ini biasanya
memilih kaedah paling mudah dan tidak memerlukan modal besar iaitu menternak di
dalam sangkar dan di dalam kolam.
Dalam usaha menarik minat orang ramai
menceburi bidang akuakultur ini, satu sistem baru telah diperkenalkan oleh ATR
Sdn Bhd. Sistem tersebut dikenali sebagai Recirculating Aquaculture
System(RAS), berupaya menternak ikan dengan cara mudah dan menjimatkan.
Pelaksanaannya juga menjadikan bidang akuakultur dapat dilakukan dengan lebih efektif dan efisien.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ATR
Venture Sdn Bhd, Omar Mustafa, sistem RAS menjalankan empat fungsi utama iaitu
membuang kumuhan pada dasar dan yang terapung, menukarkan ammonia dan melakukan
pertukaran gas karbon dioksida kepada oksigen. Kebanyakan reka bentuk sistem
RAS mempunyai penapis berlainan untuk melakukan keempat-empat fungsi berkenaan
dan untuk membersihkan penapis itu hanya memerlukan masa lima minit.
Sehubungan itu, sistem ini boleh
beroperasi secara sendiri tanpa perlu dikawal rapi. Sistem tersebut direka
dengan teknologi tinggi dan boleh digunakan bagi menjalankan aktiviti ternakan
ikan secara besar-besaran.
Penggunaan kaedah ini, ikan yang
dipelihara mengalami kadar tekanan rendah, secara tidak langsung menghasilkan
ikan berkualiti dan mempunyai harga tinggi. Sistem ini membolehkan kawasan
persekitaran dilakukan seperti suhu, kandungan air dan cahaya mengikut
kesesuaian spesies ikan. Usaha ternakan juga boleh dilakukan pada bila-bila
masa bagi menjamin bekalan berkekalan terutama ikan yang mengikut musim.
Kelebihan lain sistem ini mudah diuruskan dan penjagaannya sangat mudah.
Selain itu, ia berupaya meniru habitat
semula jadi spesies ikan tertentu. Sistem tersebut juga lebih intensif
berbanding kaedah akuakultur lain kerana berupaya mengawal saiz, berat, tekstur
dan kualiti ternakan. Dengan menggunakan kaedah ini, ia tidak mengeluarkan atau
mengumpul sebarang sisa toksik. Keseluruhan air dikitar semula dan hanya
sedikit dibuang yang kemudiannya bertindak sebagai baja kepada tanaman.
Kesimpulannya, format penternakan secara
modular ini membolehkan orang ramai membabitkan diri dalam bidang akuakultur
sama ada sebagai pendapatan tambahan atau utama. Ia tidak menggunakan tenaga
buruh yang ramai dan kos memiliki sistem ini sangat berpatutan dan mampu
dimiliki serta memberikan pulangan modal dalam lingkungan dua hingga lima
tahun, bergantung kepada jenis ikan yang diternak.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada sistem RAS oleh Omar
Mustafa, Fishplaza)
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan
berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata dapat dilakukan dengan lebih efektif dan
efisien. [2 markah]
(ii) Nyatakan keistimewaan fungsi utama sistem
baru dalam bidang akuakultur.
[3 markah]
(iii) Pada
pandangan anda, apakah
masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh orang
ramai dalam menceburi bidang akuakultur? [4
markah]
Jawapan?
BalasPadam