Novel Azfa Hanani -2012


Latar Masyarakat
1.    Masyarakat yang sanggup berkorban dengan  tujuan membantu orang lain.
Contohnya, Azfa Hanani yang sanggup menerima tawaran menyamar sebagai Tengku Murni dengan tujuan untuk menyelamatkan Datin Maziah daripada mengalami tekanan jiwa.
2.    Masyarakat yang mengutamakan kasih sayang. Contohnya, sungguhpun kehidupan pak long sekeluarga susah, namun mereka kaya dengan kasih sayang.
3.    Masyarakat yang bertanggungjawab.Contohnya, sikap Azfa Hanani yang melaksanakan tugas sebagai pengerusi Hari Sumbangsih yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan cemerlang sekali.
4.    Masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnya. Contohnya, Datuk Tengku Makmur yang memandang rendah dan menghina Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin dengan mencampakkan wang ke atas katil sebagai upah menyamar.
5.    Masyarakat pelajar. Contohnya, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Sri Dian tempat Azfa Hanani melanjutkan pelajaran di Tingkatan 5 Kenanga. Selain itu, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Taman Sari yang sibuk menjayakan Hari Sumbangsih.
6.    Masyarakat yang berpegang kepada janji.  Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya dengan menghantar Zuraini ke Indonesia.


Teknik Plot

Teknik plot atau teknik penceritaan ialah cara pengarang mengolah ceritanya supaya menarik dan berkesan.
1.       Teknik Pemerian / huraian / deskriptif.
-                      Teknik ini digunakan oleh pengarang untuk menjelaskan sesuatu keadaan, situasi atau perasaan. Contohnya, pengarang memerikan suasana pembelajaran di Makmal Kimia.
2.       Teknik dialog.
-                      Untuk menjadikan sesebuah cerita lebih realistik, pertuturan antara watak digunakan. Contohnya, Azfa Hanani berdialog dengan Kak Finaz.
3.       Teknik Monolog dalaman.
-                      Watak berkata-kata di dalam hati atau berfikir tentang sesuatu perkara. Contohnya, Azfa Hanani bermonolog dalaman setelah dia terasa tersindir dengan kata-kata Kamilah.
4.       Teknik Imbas Kembali
-                      Ingatan sesuatu watak terhadap peristiwa, kejadian yang telah berlaku atau yang telah dialaminya. Contohnya, Kisah Murni meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya diceritakan oleh Tengku Mazran.
5.       Teknik Suspen.
-                      Unsur suspen dapat mengundang minat pembaca untuk menghabiskan  bacaan bagi mengetahui kisah seterusnya. Contohnya, Ekran telah meninggalkan Azfa Hanani ketika di Dewan Sri Wawasan ketika mereka melawat pameran buku Pesta Buku Alam Malaysia dan kisah gerai burger Ekran dibakar.
6.       Teknik Kejutan.
-                      Pengarang menerapkan unsur kejutan untuk mewujudkan suasana pembacaan yang menarik. Contohnya, Azfa Hanani terkejut apabila melihat pak long dan Zuraini yang telah sembuh daripada penyakit lumpuh berbual dengan Datuk Tengku Makmur.

GAYA BAHASA
1.    Peribahasa – hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. (194) dan sambil menyelam minum air (173)
2.    Personifikasi – biarpun dadaku dikocak debar yang bukan kepalang hebatnya...(45)
...kerana perasaan tertarik itu acap kali hadir tanpa disedari...(151)
3.    Simile – macam rusa masuk kampung, bagai aur dengan tebing, umpama gajah putih (37).
4.    Metafora – arus lamunan (107), putik-putik kedewasaan (151), takhta hati (152)
5.    Sinkope – “Agaknya, orang tu tak dapat cari nombor PIN.” (63) “Sikit-sikit tu, fahamlah. Cuma, nak menjawab tu yang susah,” ujarku....(54)
6.    Penggunaan bahasa Arab – keadaan akan berubah tetapi mereka akan terus kuhubungi, insya-Allah. (43)
7.    Penggunaan perkataan bahasa Perancis – “merci beau coup”. (98)
8.    Paradoks - ...gadis malang yatim piatu ini mahu diangkat menjadi anak emas sebuah keluarga hartawan (20), bahawa kedua-dua orang tuanya bekerja sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia bukannya berasal dari keluarga yang miskin. (213)


NILAI
1.    Hormat-menghormati – Abang Mazran dan kak finaz menghormati pak long dan mak long walaupun mereka berketurunan bangsawan.
2.    Kasih sayang – Bapa saudara Azfa Hanani yang dipanggil pak long sanggup menjaganya dari kecil selepas kematian ayah dan ibu Azfa Hanani.
3.    Tanggungjawab – Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni demi memulihkan tekanan perasaan yang dihadapi oleh datin Maziah.
4.    Kesyukuran – walaupun sebelum ini Azfa Hanani tinggal di rumah mewah milik Datin Maziah, namun dia masih gembira walaupun kembali tinggal di rumah pak longnya.
5.    Baik hati – Azfa Hanani memaafkan kesalahan Syafikah dan Fuziana dan dia sedikit pun tidak mendendami mereka.

PENGAJARAN
1.    Kita hendaklah memberikan pertolongan kepada yang memerlukan. Azfa Hanani sanggup membantu Kak Finaz dan Abang Mazran dengan menyamar sebagai tengku Murni.
2.    Kita hendaklah menerima takdir yang menimpa dengan reda. Azfa Hanani reda menerima takdir bahawa kematian ayah dan ibunya dalam kemalangan disebabkan oleh Datuk Tengku Makmur.
3.    Kita hendaklah bersikap rendah diri terhadap orang lain walaupun berasal daripada keluarga berada. Walaupun Tengku Murni anak orang kaya, tetapi dia tidak sombong dengan rakan-rakannya yang lain.
4.    Seseorang yang pernah melakukan kesilapan mestilah mengakui kesilapannya. Datuk Tengku Makmur meminta maaf dan mengakui kesilapannya sehingga menyebabkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani.
5.    Kita hendaklah bersimpati terhadap kesusahan orang lain walaupun kita telah hidup senang. Azfa Hanani teringatkan keadaan pak long, mak long, dan sepupu-sepupunya semasa dia melihat lauk-pauk yang lazat dihidangkan kepadanya.
6.    Kita perlu menjaga maruah diri setiap masa. Azfa Hanani menolak pelawaan lelaki yang tidak dikenalinya itu yang mahu menghantarnya pulang ke rumah.

Fokus nilai novel ini....................................
NILAI
CONTOH
Pengorbanan.
Azfa Hanani sanggup berkorban dengan menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai Tengku Murni demi menjaga kebahagiaan semua pihak termasuklah keluarga Pak Longnya dan keluarga Datuk Tengku Makmur.
Kegigihan dan tidak mudah berputus asa.
Walaupun Azfa Hanani berasal daripada keluarga miskin, namun dia tidak menjadikan kemiskinan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan persekolahan. Sebaliknya, dia gigih dan tekun belajar demi masa depannya dan keluarga pak longnya.
Kasih sayang.
Datin Maziah amat menyayangi Tengku Murni/Azfa Hanani. Dia begitu menyayangi anak gadisnya sehingga tidak membenarkan Azfa Hanani menaiki has ke sekolah kerana bimbang akan keselamatannya.
Kerajinan.
Ekran menjalankan perniagaan burger pada waktu petang dengan tujuan mencari duit poket bagi perbelanjaan hariannya, selain mempraktikkan segala teori yang telah dipelajarinya di sekolah.
Kesyukuran.
Azfa Hanani bersyukur kerana sepupunya, Zuraini dapat berjalan semula selepas mendapatkan rawatan di Indonesia dengan bantuan keluarga angkatnya.

FAKTOR PENGANGGURAN DALAM KALANGAN  SISWAZAH

Soalan : Pengangguran dalam kalangan siswazah pada masa kini semakin meningkat. Terdapat pelbagai faktor yang dikenal pasti menjadi punca pengangguran ini.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran dalam kalangan siswazah.


RANGKA KARANGAN

PENDAHULUAN
- terdapat kira-kira 60 000 orang siswazah yang menganggur di negara kita - terdiri daripada lulusan pelbagai jurusan dan bidang - masih belum mendapat pekerjaan tetap - banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku

ISI-ISI PENTING
- terlalu memilih pekerjaan – tidak mahu dan malu untuk melakukan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka – lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak sepadan
- berlaku lambakan siswazah dalam sesuatu bidang seperti teknologi maklumat, sains sosial, pengurusan perniagaan – tidak dapat memenuhi kehendak pasaran pekerjaan – majikan yang mengutamakan pekerja asing yang dibayar lebih murah
- bilangan siswazah yang semakin meningkat – kewujudan universiti awam dan swasta yang banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan – mengehadkan peluang pekerjaan
- tidak berkeupayaan untuk menguasai kemahiran yang diperlukan – tidak dapat menguasai banyak bahasa, khususnya bahasa antarabangsa – tidak bersikap proaktif, dinamik, dan pragmatik 

PENUTUP
- pihak kerajaan perlu mencari inisiatif bagi mengatasi masalah ini – untuk mengelakkan pembaziran sumber manusia dan ilmu yang dimiliki – perlu ditangani segera untuk menjana perkembangan ekonomi negara

Langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara.




Usaha-usaha kerajaan meningkatkan mutu sukan Negara

Rangka Karangan :

1) Membawa jurulatih sukan dari luar negara. Jurultih sedia ada belum mencukupi dan kurang pengalaman - sedikit sebanyak dapat mengetahui corak dan jenis latihan yang diterima oleh pihak lawan.

i. Cth: Luis Fellipe Scolari (bola sepak), Rexy Maniarky (Badminton)


2. Dalam masa sama tidak boleh ketepikan jurulatih tempatan - Mempunyai pengalaman yang luas dalam penyertaan peringkat antarabangsa.

i. Cth : Misbun Sidek (badminton), Lee Chong Wei.


3. Kesatuan sukan / Kementerian Belia dan Sukan menghantar para atlet ke luar Negara untuk belajar - Menyertai kelab sukan luar Negara - Atlit mendapat didikan terus dari luar Negara - Mereka berpeluang melihat kegigihan atlet luar negara-menaikkan semangat

4. Menganjurkan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan negara luar - ’curi’ kepakaran dan corak permainan - Menguji kehebatan stratergi sedia ada.

i. Cth : Air Asia dan Kementerian belia dan sukan telah menganjurkan perlawanan persahabatan (bola sepak) dengan Manchester United, Chelsea, Liverpool


5. Sekolah sukan - Bina di setiap negeri - Didikan awal - biasa dengan suasana

i. Cth : Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya melahirkan ramai atlet yang berbakat seperti Daniel Bego (renang), Zakwan Adha, Aidil Zafuan (bola sepak), Tan Boon Heong, Koo Kien Kiat (badminton)


6. Khidmat pemain import - Kutip pengalaman - Menaikkan semangat pemain tempatan apabila melihat mereka bersemangat bermain untuk negara - sedangkan itu bukan negara mereka.

i. Cth : Marlon Alex James (bola sepak-kedah), Muhammadou Mustapha (bola sepak-kelantan), Phillemon Chipeta (bola sepak-Perlis)


7. Cari bakat baru - Gilap mereka sedari kecil - mengadakan pelbagai program secara konsisten dan sistematik - Pertandingan program realiti televisyen -

i. Cth : Soccer Kids (bola sepak), Jaguh (badminton)


8. Memberi insentif kepada ahli sukan yang berjaya memenangi sebarang pingat dalam mana-mana kejohanan sukan dalam dan luar negara. Insentif boleh berupa wang ringgit mahupun bentuk lain.

Karangan Rencana: Langkah-Langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara

Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara
Oleh: Mohd Shahir Mohd Shah
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.
Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.
Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”
Diambil dari blog Minda Sastera Bahasa-minda  -tq

Sesetengah bencana alam yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.
Jelaskan sebab-sebab bencana alam yang berlaku akibat perbuatan manusia sendiri.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- kita sering dikejutkan dengan kejadian bencana alam

Isi-isi Karangan
i. aktiviti pembalakan menjadi faktor berlakunya bencana alam
i. individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka
iii. anggota masyarakat membuang sampah ke dalam longkang dan sungai
iv. aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng bukit

Penutup
- semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu

Karangan Contoh

     Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.

     Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

     Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

     Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.

  POLA AYAT

 Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis dengan berpandu kepada jenis-jenis binaan subjek dan predikatnya.

i. Frasa Nama + Frasa Nama
FN FN
Contoh: Encik Baihaqi (FN) seorang guru (FN)

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja
FN FK
Contoh: Aniza(FN) membaca buku (FK)

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
FN FK
Contoh: Rumah Intan (FN) besar (FA)

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
FN FS
Contoh: Dia (FN) dari Jitra (FN)

Contoh 2

i. Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Cikgu Faridah guru Bahasa Melayu kelas kami.

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Kami sedang belajar Bahasa Melayu bersama cikgu Faridah.

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Cikgu Faridah seorang yang baik hati.

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS)
Cikgu Faridah guru di SMK Taman Universiti 2.


Latihan
Nyatakan pola ayat dasar bagi setiap ayat di bawah.

i. Bunga itu sungguh cantik dan berbau harum.
ii. Jam tangan itu untuk emak sempena hari lahirnya.
iii. Pelajar kelas 5 Budiman sedang mengulangkaji pelajaran.
iv. Kucing peliharaan saya bernama Si Comel.
v. Adik saya sangat comel dan manja.
vi. Kami sekeluarga akan ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.



Skema Jawapan: 

i. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA )
ii. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS )
iii. Frasa Nama + Frasa Kerja ( FN + FK )
iv. Frasa Nama + Frasa Nama ( FN + FN )
v. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA )
vi. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS )



Karangan Bergambar SPM - Ciri-ciri Sekolah Selamat

Latihan Karangan Bergambar SPM – Ciri-ciri sekolah selamat

Sekolah atau alma mater merupakan tempat kita belajar. Oleh sebab itu, tempat kita menimba ilmu ini mestilah berada dalam keadaan yang selamat dan selesa. Hal ini penting agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikukum. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat. Cara-cara berikut mestila kita ketahui demi menjadikan sekolah sebagai tempat anak-anak belajar yang selamat dan selesa.

Pihak sekolah mestilah menyediakan alat kawalan kebakaran di tempat-tempat yang strategik di kawasan sekolah. Langkah ini amat penting supaya kebakaran dapat dielakkan daripada merebak ke bangunan yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah di Malaysia mengalami nasib yang sama, yakni alat kawalan kebakaran seperti pili bomba dan alat kawalan kebakaran berbentuk semburan tidak dapat berfungsi dengan normal kerana rosak atau hilang. Sebenarnya, alat kawalan kebakaran yang rosak dan yang telah dicuri mestilah digantikan yang baharu. Pihak sekolah juga haruslah mendidik murid cara-cara menggunakan alat tersebut pada waktu kecemasan. Dengan ini, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah juga haruslah melukis pelan kecemasan yang dapat digunakan pada saat-saat sekolah ditimpa kecemasan. Hal ini demikian kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh sebab itu, pelan tangga kecemasan dan pelan larian ke padang mestilah ditampal di tempat-tempat yang mudah dilihat. Dari semasa ke semasa, latihan kebakaran haruslah dijalankan juga. Hal ini dapat memastikan pelajar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Cara ini pasti dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan dalam kalangan wara sekolah.

Di samping itu, keselamatan pelajar di pintu sekolah juga mestilah dijaga dengan rapi. Setiap pintu sekolah mestilah dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Pondok sekuriti mestilah dibina untuk memastikan para pelajar dapat melaporkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada pihak yang bertugas. Dengan ini, kejadian seperti kes culik dan kes ragut dapat diatasi sekali gus menjamin keselamatan anak-anak yang mahu memasuki pintu sekolah mahupun semasa balik ke rumah. Ibu bapa juga pasti berasa puas hati dengan tahap keselamatan sekolah. Tahap kebimbangan ibu bapa dan keyakinan ibu bapa yang tinggi ini dapat meningkatkan imej sekolah secara tidak langsung.

Sementara itu, keselamatan di jalan-jalan berdekatan dengan kawasan sekolah juga harus ditingkatkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Perhatian harus diberikan oleh pihak kerajaan tempatan dengan menyediakan lampu isyarat di jalan-jalan yang menjadi lintasan pelajar. Penyediaan “lintasan zebra” juga merupakan langkah penting supaya murid-murid dapat melintas jalan ke sekolah dengan selamat. Kawalan trafik oleh pihak pengawal keselamatan sekolah juga amat penting selain memasang papan tanda isyarat “Kurangkan Kelajuan, Kawasan Sekolah”. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada para pemandu supaya mengurangkan kelajuan di kawasan sekolah. Apabila langkah di atas dapat diambil, murid-murid akan berasa selamat dan kes kemalangan di kawasan sekolah dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, Keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Semua pihak yang terlibat haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin keselamatan anak-anak ke sekolah dan sepanjang berada di sekolah. Para pelajar mestilah dididik mematuhi segala arahan dan peraturan di sekolah. Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah memastilah anak-anak selamat masuk ke sekolah sebelum beredar ke pejabat. Kempen “Sekolah Selamat” haruslah diuar-uarkan supaya keselamatan anak-anak dapat dijamin. Saya berharap sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat dan kondusif.
layan seni kata nasyid........
ITU INI , BEGITU BEGINI


Kau membisik, Kau memanggil,
Cuba mengheretku ke ruang fantasi,
Bicaramu menggoda, Semua bagai indah,
Hanya madah sia-sia, Racun berbisa..
(CHORUS):
Itu ini begitu begini, Beza persepsi di sana-sini,
Cara dia dan cara mereka, Masing-masing punya citarasa,
Itu ini begitu begini, Gosip sensasi di sana-sini,
Kisah dia cerita mereka, Tak peduli benar atau dusta..
(VERSE 1)
Aku merenung ke luar tingkap
Memikirkan masa aku yang kian singkat
Merancang usaha aku yang perlu ditingkat
Terkenang masa lalu yang lebih ringkas.
Pesanan ringkas di alat komunikasi,
Bisik belakang lagi gosip sensasi
Dulu geli hati pernah ku minati
Yang dahulu manis kini aku rasa basi,
Bila diumpankan secebis umpatan,
Yang lebih penting lebih senang dilupakan,
Yang gangsa digilap kita sangka emas,
Kaca dikejar yang berlian lekas terlepas
Nasi yang dikendong senang tercicir
Bila sibuk mengejar madu mengalir dari bibir
Yang dijual murah untuk beli sepah,
Hingga tubuh kebulur, dan rohani resah
(Chorus)
Itu ini begitu begini, Beza persepsi di sana-sini,
Cara dia dan cara mereka, Masing-masing punya citarasa,
Itu ini begitu begini, Gosip sensasi di sana-sini,
Kisah dia cerita mereka, Tak peduli benar atau dusta.
(VERSE 2)
Satu masa dulu kita dua sejoli,
di antara hobi, bercerita di kedai kopi
Hingga pukul 2 3 4 5 pagi,
Malam tua tapi kita masih muda lagi
Gerak pantas mulut manis bila ada gadis,
Macam baju tukar laju biar mereka menangis,
Tak heran ada yang lain lain,
Kita saing bukan sukan hanya main main,
Bukan tempat aku untuk mencemuh mencaci,
Tapi aku bukan, lelaki itu lagi,
Kau ada hidup kau aku punya hal sendiri,
Lihat aku punya masjid indah yang terdiri,
Jauh sekali tempat aku mengadili
Tapi aku harap kau pandai membawa diri,
Kalau jumpa diluar pasti bertegur sapa,
Jemput ke rumah aku kalau ada masa,
(BRIDGE):
Helah dan dusta punca sengketa,
Menghancurkan segala,
Bawa sengsara dan airmata..
(Chrous X2)
Itu ini begitu begini, Beza persepsi di sana-sini,
Cara dia dan cara mereka, Masing-masing punya citarasa,
Itu ini begitu begini, Gosip sensasi di sana-sini,
Kisah dia cerita mereka, Tak peduli benar atau dusta


GURUKU

Wahai guru yang dikasihi,
Engkaulah pelita diri ini,
Menerangi hati nurani,
Moga dirimu dirahmati
Ya Allah peliharalah guruku,
Agar dipimpin terus hambaMu,
Agar terhindar dari Neraka,
Moga dibukakan pintu Syurga
Tak terbalas jasamu
Berkorban jiwa raga
Mendidik anak bangsa
Jadi insan berguna
Keikhlasan di hati
Hulur bakti dan budi
Kau penyambung warisan
Ilmu cahaya hati
Ampunkanlah wahai guruku,
Kesilapan anak-anakmu,
Ku serahkan jiwa ragaku,
Agar terdidik nafsu liarku
Dengan izin Allahu Rabbi,
Engkaulah guru yang sejati,
Engkau bersabar mendidik kami,
Moga dirimu diberkati
Datang dengan harapan, (Bridge)
Pulang bawa kejayaan,
Anugerah yang diimpikan
MISTERI ANGKA 3 DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

Ada 3 Hal dalam hidup yg tidak boleh kembali :
1. Waktu,
2. Kata-kata,
3. Kesempatan.

Ada 3 Hal yang dapat menghancurkan hidup seseorang :

1. Kemarahan,
2. Keangkuhan,
3. Dendam.

Ada 3 Hal yang tidak boleh hilang :
1. Harapan,
2. Keikhlasan,
3. Kejujuran.

Ada 3 Hal yang paling berharga :
1. Kasih Sayang,
2. Cinta,
3. Kebaikan.

Ada 3 Hal dalam hidup yang tidak pernah pasti :
1. Kekayaan,
2. Kejayaan,
3. Mimpi.

Ada 3 Hal yang membentuk watak seseorang :
1.Komitmen,
2. Ketulusan,
3. Kerja keras.

Ada 3 Hal yang membuat kita sukses :
1. Tekad,
2. Kemahuan,
3. Fokus.

Ada 3 Hal yang tidak pernah kita tahu :
1. Rezeki,
2. Umur,
3. Jodoh.

TAPI, ada 3 Hal dalam hidup yang PASTI :
1. Tua,
2. Sakit,
3. Kematian .